Sunday, November 28, 2010

Aku Lebih Tahu

Semalam masa tengah merayap-rayap di Facebook, terperasan banyak kawan-kawan aku share satu notes tentang sejenis minuman segera, Nescafe 3 in 1. Pernah dengar kan? Pernah minum tak? Tajuk notes tu PADAH NESCAFE 3 IN 1 DAN SEUMPAMANYA. Timbul rasa nak tahu sebab aku dulu pernah minum nescafe ni. Antara kandungan notes yang aku baca tu adalah seperti di bawah..:


" Nescafe 3 in 1 merosakkan jantung & buah pinggang.

Zaman skarang ni, banyak penyakit datang dari pemakanan.

Beberapa hari lepas saya dikunjungi oleh seorang pelajar lelaki tahun akhir. Sudah beberapa bulan pelajar ini tidak bertemu dengan saya. Pelajar ini mengemukakan beberapa masalah kumpulannya untuk diselesaikan oleh saya sebagai seorang penasihat akademiknya. Alhamdulillah masalah dapat diselesaikan.



Selepas hajat terlaksana, pelajar ini yang saya namakan sebagai Ahmad menukar topik kepada topik kesihatan dirinya. Beliau mengadukan masalah dirinya. Beliau dapat merasakan kemerosotan tahap kesihatan dirinya. Berikut adalah antara tanda-tanda yang dapat dikenalpasti:


Kerap berdebar tidak menentu masa. Kadang-kadang waktu membaca tiba-tiba jantung / dada berdebar dengan laju.

1. Bila jantung berdebar ini berlaku, ia akan diikuti dengan dahi berpeluh.
2. Beliau juga kerap merasakan kesakitan pada dadanya.
3. Sering mencungap dan kadang-kadang kala sewaktu sembahyang pun mencungap.
4. Semakin tidak tahan atau alah dengan panas terik matahari dan jikalau kena panas, badannya akan banyak berpeluh dan tidak selesa.
5. Jikalau tahun lepas, kekerapan simptom-simptom di atas agak jarang namun kebelakangan ini, kekerapan kejadian semakin kerap sehingga satu kali serangan dalam setiap 2/3 hari.
6. Tapak tangannya semakin basah.

Berdasarkan simptom yang saya perolehi saya terus menyoal tabiat permakanannya. Selepas mendapat data yang dikehendaki saya pun memberikan penjelasan, "Ahmad, engkau ni walau pun usia masih muda, jantung engkau sudah bermasalah. Punca masalah engkau ini adalah kerana engkau kerap meminum Nescafe 3 in 1. Nescafe adalah tidak baik dan merosak buah pinggang manakala krimer yang terdapat di dalam campuran ini sangat merosak jantung. Krimer ini bukan diperbuat dari susu tetapi adalah dibuat dari kelapa sawit (non dairy creamer)." Selanjutnya, saya menasihati Ahmad untuk melakukan perkara berikut untuk merawat jantungnya:

1. Elakkan dari meminum Nescafe yang merosak buah pinggang dan elakkan sama sekali apa jua jenis krimer yang dibuat dari selain susu (non dairy creamer).
2. Elakkan dari mengambil coffee mate kerana ia adalah non dairy creamer.
3. Elakkan makan ais krim kerana mengandungi krimmer yang tinggi.
4. Elakkan susu pekat manis yang mengandungi krimer dari selain susu.
5. Elakkan memakan sebarang makanan yang mengandungi margarine.
6. Elakkan memakan burger, naget, kentang goreng, potato chip dan segala yang sewaktu dengannya.
7. Elakkan mandi selepas makan.
8. Amalkan amalan: Ambil segenggam kacang hijau, rendam dalam air kira-kira 10 minit,selepas itu rebus asal masak dan bukan rebus sehingga pecah tanpa membubuh garam. Selepas itu buang air rebusan dan makanlah kacang hijau ini dan amalkan amalan ini setiap hari.
9. Boleh beli jintan hitam dan makan setiap hari atau pun belilah yang sudah siap diproses atas nama habbatussauda.
10. Amalkan makan sayuran pahit seperti kailan, peria, pegaga, daun ubi, pucuk betik, ulam-ulam dsbnya.
11. Kurangkan makan nasi lemak terutama sekali nasi lemak di kedai kerana mereka mencampurkan minyak masak kepada nasi lemak agar nasi lemak ini kelihatan cantik berderai dan tidak melekat.

Kepada yang mulai menghadapi masalah dengan jantungnya atau yang sudah lama bermasalah jantung, bolehlah mengamalkan amalan di atas.. "


Lepas je habis baca notes ni, ayat pertama yang keluar dari mulut aku "Alhamdulillah, nasib baik aku dah tak minum." 
Aku mula kenal dengan minuman-minuman 3 in 1 ni masa belajar kat matrikulasi dulu. Zaman permulaan aku stay kat hostel dengan kawan-kawan(terpaksa berjauhan dengan ayah & mak). Tiap sorang harus ada stok makanan dan minuman segera sebab nak buat backup bila lapar tiba-tiba menyerang, especially waktu tengah malam. Milo 3 in 1, Nescafe 3 in 1, Nesvita 3 in 1, Mee Maggi, Mee Ruski, Biskut 4 segi Jacob's, Biskut Oreo dan macam-macam lagi lah. Tak larat kot nak senaraikan semua kat sini. 




Nescafe 3 in 1 ada 3 jenis yang pernah aku minum dulu: Mild(Bungkusan Kuning), Regular(Bungkusan Merah) dan Rich(Bungkusan Hijau), setiap jenis tu aku cuba sebab nak tau perbezaan rasa dia kat mana. Rasa untuk ketiga-tiga jenis tu lebih kurang sama je. Yang kuning rasa macam lebih susu sikit, yang hijau rasa macam lebih pahit dan yang merah pula sederhana, tak rasa lebih susu atau tak pahit sangat(jenis ni yang aku selalu beli). Aku minum nescafe ni sebab nak hilangkan rasa mengantuk time buat ulangkaji. Ada juga yang nak stay up buat assignment pun teguk minuman ni. Mengikut kajian sesama aku dan kawan-kawan, nescafe hijau tu yang paling berkesan. Kononnya la kan..tapi kalau aku dah mengantuk tahap maksimum, memang tak boleh 'jalan' juga. Teguk pi la yang hijau ka, kelabu ka, hitam ka, tetap nak tidoq.hehehe!!.. 






Bagi sesiapa yang pernah minum nescafe, mesti dapat rasa tanda-tanda macam dalam notes kat atas kan. Walaupun bukan semua tanda-tanda tu, at least satu daripadanya mesti dapat rasa. Masa selalu minum  nescafe dulu, aku selalu juga rasa berdebar-debar. (Berdebar-debar sebab nak final exam satu hal). Selain berdebar-debar, kadang-kadang tangan tiba-tiba jadi menggeletar, tekak jadi loya dan kerap buang air kecil. Memang banyak orang cakap, apa yang berlaku tu adalah kesan daripada kandungan kafein yang tinggi dalam nescafe. Bahaya, tak elok minum selalu. Aku tahu tapi tak ada kesedaran lagi masa tu. Isk3... >.< 

Sekarang aku lebih tahu betapa bahayanya Nescafe 3 in 1. Syukur sangat sebab aku dah tak minum. Mungkin sebab aku dah tamat belajar & tak stay kat hostel lg. Duk kat umah, aku lebih suka minum air kosong/air peti sejuk. Makan pun lebih terjaga sebab mak selalu tengok-tengokkan. Hehe.. Tumpang usia pun masih muda & badan masih kuat, jom kita sama-sama jaga pemakanan. Buat senaman kecergasan sikit(3/4 kali seminggu, 20-30 minit untuk setiap kali senaman tu). Jangan nanti bila dah berumur dan dah dapat penyakit 3 serangkai(kencing manis, darah inggi & jantung), masa tu susah dah nak sembuh sepenuhnya. Memang lah semua tu kuasa Tuhan. Ingat, kita buat semua tu sebagai langkah berjaga-jaga untuk elakkan diri daripada diserang sebarang penyakit..=) Peringatan ini peringatan bersama. Segala kekurangan/kelemahan/yang buruk itu dari diri ini dan yang baik itu hanya dari Allah.. Wallahhualam..


Thursday, November 25, 2010

Meraih Kebahagiaan

Subhanallah..alhamdulillah..lailahaillallah..allahuakbar
Segala puji hanya bagi Allah. 
Syukur kerana diri ini masih lagi diberi kesempatan. Kesempatan yang tidak ternilai untuk melihat sang Matahari dan mendengar kicauan burung pagi yang bersilih ganti dengan kokokan ayam. 
Pagi ini kelihatan matahari seakan-akan sedikit malu, ia berselindung di sebalik kumpulan awan yang memutih. Barangkali hari masih lagi muda, ia malu untuk memancarkan sinar. Keadaan yang cukup indah, damai, dan menenangkan jiwa. Jiwa yang kadangkala rapuh akibat 'dihentam' oleh pelbagai masalah.




Aku, kamu, mereka atau kita sebagai hamba-Nya memang tak dapat lari dari masalah. Perlu kita ingat bahawa masalah itu sebenarnya merupakan ujian dari Allah s.w.t kepada makhluk-makhluk yang dicipta-Nya. Ujian yang diberikan untuk menguji tahap keimanan kita terhadap tuhan Yang Maha Esa. Sedangkan kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w pun diuji apatah lagi diri kita ini. Sama-sama lah kita fikirkan dan renungkan..

Memang tak dapat dinafikan, masalah yang datang bertimpa-timpa membuatkan hati rasa tak tenang, gundah-gulana, sedih dan hilang nikmat kebahagiaan. 
Untuk post kali ini, terdetik di hati untuk berkongsi sedikit maklumat tentang tips-tips meraih kebahagiaan. Maklumat ini diperoleh hasil pembacaan dari buku La-Tahzan(Jangan Bersedih: Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan) yang ditulis oleh Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni.. 

10 tips untuk meraih kebahagiaan:~

1. Duduk sambil beristighfar pada waktu sahur:
    ..... dan orang-orang yang memohon ampun di waktu sahur. (Ali-'Imran: 17)


2. Menyendiri untuk bertafakkur:
    ..... dan mereka bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi ..... (Ali-'Imran: 191)

3. Menjalin hubungan dengan orang-orang soleh:

    ..... Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya ..... (Al-Kahfi: 28)

4. Perbanyakkanlah berzikir:

    .....berzikirlah kalian (dengan menyebut nama Allah), sebanyak-banyaknya. (Al-Azhab: 41)

5. Melakukan solat sunat dua rakaat dengan khusyuk:

    Iaitu orang yang melaksanakan solat dengan khusyuk. (Al-Mu'minun: 2)

6. Bacalah Al-Quran dan renungkanlah isinya:

    Apakah mereka tidak mahu mentadabburi(menghayati isi) Al-Qur'an ..... (An-Nisa': 82)

7. Berpuasa sunatlah walaupun pada hari yang sangat panas:

    Ia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya kerana Aku. (Al-Hadith)

8. Bersedekahlah secara sembunyi-sembunyi:

    Hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya. (Al-Hadith)

9. Meringankan beban seorang muslim yang sedang dalam kesulitan:

   Barangsiapa meringankan kesusahan seorang muslim di dunia, maka Allah akan membebaskan kesulitannya kelak di hari Kiamat. ( Al-Hadith)

10. Usahakan menjalani hidup di dunia dengan zuhud:

     Sedangkan kehidupan akhirat itu jauh lebih baik dan lebih kekal. (Al-A'la: 17)

***zuhud = meninggalkan sesuatu yang bersifat kemewahan duniawi dan mengharapkan sesuatu yang lebih baik di akhirat kelak kerana terlalu menyintai Allah (lebih mengutamakan kehidupan akhirat).






Friday, November 19, 2010

Kecantikan Lelaki & Kegagahan Wanita

Cantik kebiasaannya sering dikaitkan dengan golongan wanita manakala gagah pula dikaitkan dengan golongan lelaki. Namun demikian, disebalik kecantikan seseorang wanita itu sebenarnya terselit kegagahan. Begitu juga dengan lelaki, terselit kecantikan disebalik kegagahan mereka..


Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah:- 

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan 
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran 
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun 
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada 
5) Lelaki yang baik sangka 
6) Lelaki yang tak pernah putus asa 


Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.



Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Wanita yang gagah adalah:- 

1) Wanita yang tahan menerima sebuah kehilangan 
2) Wanita yang tidak takut pada kemiskinan 
3) Wanita yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan 
4) Wanita yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan. 


Kegagahan wanita berdiri di atas keteguhan iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Saidatina Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang wanita.


Mudah-mudahan kita semua menjadi hamba Allah yang 'cantik & gagah' seperti Nabi Muhammad s.a.w dan isteri baginda Saidatina Khadijah. InsyaAllah..


Saturday, November 13, 2010

Terfikir Balik

Bila perut dah kenyang, hati pun senang.
Hati yang senang tapi bosan. 
Bosan sebab tak tau nak buat apa.
Eh, bukan tak tau. Tapi memang aku tak nak buat apa-apa.
Malam ni aku nak rileks sepuas-puasnya.
Rileks sambil fikirkan balik apa yang dah dibuat siang tadi.



Sabtu minggu ni tak macam minggu yang lepas-lepas.
Awal-awal pagi tadi aku dah keluar dari rumah.
Keluar ke Institut Perguruan Perlis untuk ambil Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia atau MTest.
Penah dengar kan pasal ujian ni. Lulus MTest dan temuduga merupakan syarat utama sebelum pemohon berjaya mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI).



Cakap pasal KPLI, ni masuk kali kedua aku mohon. 
Alhamdulillah, kali kedua juga aku dapat merasa MTest.
Masa pertama kali aku buat ujian ni, memang teruk.
Tak sangka soalan yang akan keluar macam tu. Tambah-tambah soalan bahagian Kuantitatif. 
Soalan terbahagi kepada lima bahagian: INSAK, Kuantitatif, Bahasa Inggeris, Analitikal dan Verbal.
Buku latihan untuk ujian ni ada dijual tapi aku tak beli sebab tak tau buku tu dijual.
Aku dapat info pasal buku tu pun lambat dari sorang kawan, bila nak beli buku tu dah habis..
Konklusinya, 1st MTest memang aku tak bersedia.




Learn from the past. Untuk 2nd MTest, aku dah set tak mau jadi macam yang sebelum ni.
Lepas je dapat tau layak untuk ambil ujian tu, aku terus pergi beli buku latihan.
Lega sikit la kali ni sebab aku sempat buat latihan sebelum ambil ujian yang sebenar.
Macam mana 2nd MTest?? Tak tau la apa yang aku buat tadi. Rasa macam teruk sangat..
Soalan bahagian Kuantitatif kali ni lagi 'hebat' dari yang sebelum ni.
Serius, aku tak cukup masa nak jawab tadi. Main tanda je, janji jawab semua soalan.
Soalan bahagian lain pun tak kurang 'hebatnya' juga. Hmm, tak tau dah nak explain macam mana..=(


Satu hal lagi, tadi pengawas peperiksaan ada bagi tau pasal bilangan calon di seluruh negara yang ambil MTest kali ni. Jumlah calon adalah sebanyak 63 000.
Daripada jumlah tu, hanya lebih kurang 3000 calon saja
yang akan dipilih mengikuti KPLI ambilan Januari 2011.
Aku salah dengar ke? MasyaAllah..PERSAINGAN yang sangat TINGGI!!
Bukannya senang nak jadi cikgu. Berebut-rebut, terutamanya golongan wanita.
 Takpa, yang penting dah usaha. Dah cuba buat yang terbaik.
Sekarang ni perlu berdoa dan tawakal saja..
Kalau berjaya, alhamdulillah..
Kalau sebaliknya, pun alhamdulillah..
Jangan putus asa. Mungkin usaha yang dah dibuat tu belum cukup.
Jom sama-sama tingkatkan usaha.
InsyaAllah, suatu masa nanti pasti ada hasilnya...amin...



Belajar dari kesilapan untuk mengecapi kejayaan yang
lebih bermakna

Monday, November 8, 2010

G.E.M.S

Sunyi sepi datang lagi malam ni.
Datang mengetuk pintu kisah-kisah lalu aku.
Jari-jemari pula terasa nak menari-nari atas butang keyboard.
Menari bersama sebuah 'lagu'.
Lagu tentang kisah aku bersama GEMS.


Pejam celik, pejam celik, dah setahun aku tinggalkan GEMS.
GEMS?siapa?Hmm, bukan orang daa...
GEMS tu singkatan kepada Graduate Employability Management Scheme..
Emm, skim apa plak ni..skim cepat kaya?bukan bukan..


GEMS merupakan sebuah program untuk graduan yang belum mendapat pekerjaan atau dengan erti kata yang lain graduan menggangur. Program tersebut dianjurkan oleh Khazanah Nasional Berhad(KNB) dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLCs-Government Linked Companies). KNB pernah menganjurkan satu program sebelum GEMS iaitu GREEN(Graduate Employability Enhancement). Perlaksanaan GEMS adalah berasaskan kepada GREEN cuma bezanya, GEMS dilaksanakan untuk skala yang lebih besar iaitu empat intake. Nak tau maklumat lanjut mengenai program ni boleh dirujuk kat http://www.mygemsportal.com.my


Mesti nak tau kan, macam mana aku boleh join program ni. Kalau yang dah tau tu, it's ok..=) Aku dapat tau pasal pogram ni dari sorang my coursemate kat UTM dulu, nama dia Hamidah(antara kawan yang rapat dengan aku, kecik je orang nye..hehe). Masa tu kami sama-sama dok 'tanam anggur' kat rumah masing-masing sebab dah dua bulan tamat belajar, kami masih tak dapat keja lagi.. Then, aku pun mohon untuk mencuba nasib nak joinsecond intake(27/06/2009 - 02/09/2009) bertempat di Hotel Suasana Harvard, Sungai Petani, Kedah.. program tu.. Lebih kurang seminggu selepas permohonan, aku dipanggil untuk temuduga kat Jabatan Tenaga Rakyat Pulau Pinang.. Alhamdulillah, aku berjaya temuduga tersebut dan layak untuk menyertai GEMS



My Company 


Program GEMS terbahagi kepada dua peringkat iaitu classroom training and job training. Peringkat pertama selama 2 bulan setengah manakala peringkat kedua pula selama 6 bulan. Semasa classroom training, para peserta terlibat dengan 15 modul berikut:

  • Breakfest with GEMS
  • Project Planning
  • Time Management
  • Professional Grooming
  • Interpersonal Communication
  • Customer Service
  • Business Appreciation
  • Operation Management
  • Office Management
  • Problem Solving
  • Presentation Skills
  • Team building & Leadership
  • Employability Workshop


Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa perlaksanaan modul-modul tersebut. Ada aktiviti secara individu, ada juga secara berkumpulan. Kat bawah ni antara gambar-gambar yang sempat aku ambik sebagai kenang-kenangan..


GATE CORPORATION: nama company selepas meeting untuk organisasi syarikat dijalankan



JAGUAR: kumpulan untuk aktiviti Treasure Hunt



GOLF: Aktiviti riadah petang



TEAMBUILDING: ni la kumpulan BURI-BURI ZAEMON yang mantap.hehe =)



Berhempas-pulas menyiapkan tugasan sampai ke tengah malam



Iron ladies from Gate Corporation. Hehe..


GEMS's Convocation Day :)


Manakala semasa job training(Oktober 2009 - April 2010) pula, pada mulanya aku bersama dengan 10 orang lagi peserta ditempatkan di Telekom Malaysia(TM) Kuala Lumpur. Berlaku sedikit perubahan antara pihak penganjur dengan pihak TM, kemudian kami ditukarkan ke tempat lain. Aku ditempatkan di Hotel Starcity Alor Star dan hanya mampu bertahan kat situ selama sebulan saja. Aku terpaksa menarik diri atas sebab-sebab peribadi yang tak boleh dielakkan..Sedih jugak tapi apa yang berlaku tu ada hikmahnya, hanya aku dan Dia saja yang tau..


Syukur alhamdulillah, aku ditemukan dengan para peserta dan pelatih yang tak lokek berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman semasa menyertai GEMS. Banyak perkara yang aku dapat daripada program ni. Best sangat.. Aku rindu korang semua.. Walaupun dah lama, mungkin ada yang anggap kisah ni dah basi. Bagi aku, kisah ni tak pernah basi dan memang takkan basi sampai bila-bila..=)


Malam pun dah mula larut.
Patut la mata terasa pedih. 
Dah, tutup pintu. Jom lelapkan mata.
Esok atau lusa sambung lagi.
Salam..~

Wednesday, November 3, 2010

2B dan 01/11/10

BERHENTI:~

B yang pertama untuk Berhenti. Ada apa dengan berhenti?
Berhenti berharap? Hmm, macam putus asa jek..Tidak!Tidak!
Berhenti merokok? Haih, lagi la Tidak! (Merokok pun tak)
Berhenti belajar? Alhamdulillah, dah setahun aku habis belajar..
Okey2..bukan berhenti berharap, berhenti merokok ataupun belajar..tapi BERHENTI MENGAJAR!~

Pagi Isnin 01/11/10, aku dapat 1 call dari sorang kerani dari Jabatan Pelajaran Perlis.. Dia maklumkan kat aku bahawa hari tu merupakan hari terakhir aku mengajar di sekolah. Aku diberhentikan kerana JPP tak cukup peruntukan nak bayar gaji Guru Ganti Siswazah. Bukan aku sorang saja, kawan aku lagi dua tiga orang pun senasib dengan aku.. Apa boleh buat..mungkin rezeki aku sebagai pendidik untuk tahun ni setakat bulan November ja.. Takpa la, insyaAllah kalau ada rezeki tahun depan sambung mengajar balik(kerani JPP tu la yang cakap).. Tunggu dan lihat ja la kan(Usaha lain & doa pun kena buat juga).. Yang penting sekarang ni, jangan mudah putus asa. Rezeki Allah ada di mana-mana saja..


BANJIR:~

B yang kedua untuk Banjir. Bulan November tahun ni, negeri-negeri kat utara semenanjung(Perlis, Kedah) lagi sekali dilanda banjir. Seingat aku, last banjir besar kat utara tahun 2005 dulu. Masa tu aku belajar di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. Arau antara kawasan yang teruk ditenggelami air. Aku dan kawan-kawan tak boleh balik rumah, kami semua terperangkap kat sana. Alhamdulillah, kolej matrikulasi aku tu tak ditenggelami air. Cuma bekalan air dan makanan terputus. Hanya mampu makan Maggi je..huhu..haa,yang tu cerita banjir 2005 la kan..





















Pasal banjir 2010 plak, hujan mula turun pagi Ahad(31/10/10). Hujan jenis berterusan, sekejap lebat dan sekejap tak lebat sampai la pagi Selasa(02/11/10). Masa aku pergi kerja awal pagi Isnin(01/11/10), air dah mula naik. Rasa tak sedap hati dan memang masa tu aku rasa banjir akan berlaku kalau hujan tak berhenti dalam masa 2/3 jam lagi. Memang betul apa yang aku rasa, pihak sekolah lagi sekali dapat call dari JPP supaya tangguhkan peperiksaan akhir tahun ke hari lain. Sebabnya, ada beberapa sekolah telah dinaiki air.. Aku plak tak boleh balik rumah, ayah tak boleh datang ambik. Kebanyakan jalan menuju ke Kangar ditutup sebab air deras memenuhi jalan. Terpaksa la aku tumpang bermalam di rumah sepupu aku kat Utan Aji.. Tengah hari Selasa baru dapat balik rumah. Balik ikut highway Kangar-Arau-Padang Besar, jalan yang selalu aku lalu tu tak boleh lalu sebab masih ditutup. Alhamdulillah..rumah dan sekitar kampung aku tak ditenggelami banjir. Di kampung seberang, rumah mak su pun selamat. Cuma rumah mak ngah, tok lang dan tok cik yang kurang bernasib baik, ditenggelami air kira-kira paras lutut.. Walaupun air tak dalam sangat, tapi kesian la tengok keadaan barang-barang dan rumah yang dipenuhi dengan tanah lumpur. Aku tumpang simpati dengan nasib mangsa-mangsa banjir kali ni. Diharapkan keadaan akan pulih secepat mungkin dan semuanya boleh meneruskan kehidupan seperti sedia kala.. Anggaplah apa yang berlaku tu sebagai satu ujian dari-Nya..



Rumah mak ngah


Macam dalam 'tasik'


Rumah tok cik


# Segala ujian dari Allah haruslah dihadapi dengan penuh kesabaran agar kita sebagai hamba-Nya lebih mendekatkan diri dengan Dia Yang Maha Berkuasa dan bersyukur dengan limpahan nikmat-Nya.. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah..

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...