Monday, September 19, 2011






Allah Taala berfirman :
"Janganlah kamu bersikap lemah & janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."
(Al-'Imran : 139)


Sunday, August 7, 2011

Ujian Lagi

Bekalan air terputus hampir seminggu lebih.
Nasib baik kat rumah ada perigi. Kalau tak, jenuh jugak la dok catu air.
Cuaca kat sini terik sangat. Terasa semakin hari, Ramadhan semakin mencabar. 
Diserang pulak virus selesema. Hidung berair, mata menjadi berat. 
Tekak terasa gatal2. Badan pulak rasa lemah semacam ja.
Kerap pula kena tahun ni. Baru dua bulan lepas kena, bulan ni kena lagi.
Oh, lemahnya aku. Kerna aku ialah makhluk yang bernama MANUSIA.

Niat hari ni nak ke Shah Alam terpaksa dibatalkan. Terlepas satu peluang. 
Biar begitu. Aku tak mau jadi anak derhaka. Derhaka di bulan yang penuh barakah.
Bulan yang menuntut kita semua melakukan lebih kebaikan. 
Memohon keampunan dari Yang Esa atas dosa-dosa yang lalu. 
Sekiranya derhaka, bukan keampunan yang aku dapat tapi menambahkan lagi dosa.
Bukan dosa biasa, malahan dosa besar. Nauzubillah.

Mungkin nanti ada yang lebih baik, yang Dia dah tentukan untuk aku.
InsyaAllah.
Semua yang berlaku tu ujian Ilahi, aku redha~

Friday, August 5, 2011

Ramadhan: Do's & Don'ts (Part 2)

Do's
Bersederhana menyediakan dan membeli juadah berbuka puasa.
Don'ts 
Berlebihan dalam menyediakan juadah berbuka sehingga membazir.

Do's
Menyegerakan berbuka puasa.
Don'ts
Melambat-lambatkan berbuka puasa.


Do's
Berbuka dengan tamar dan air terlebih dahulu.
Don'ts
Makan banyak ketika berbuka sehingga menyebabkan malas beribadah.

Do's
Solat Tarawih dan Witir.
Don'ts
Menonton televisyen atau melakukan aktiviti malam yang tidak berfaedah dan melalaikan.

Do's
Menjaga pandangan dan pendengaran.
Don'ts
Langsung tidak menjaga pandangan dan sering memandang yang bukan mahram.

Do's
Tidur awal(malam) dan berniat untuk bangun awal.
Don'ts
Menghabiskan malam dengan perkara yang melalaikan sehingga tidur lewat.

Do's
Menghidupkan 10 malam terakhir dengan pelbagai agenda ibadah.
Don'ts
Sibuk membuat persiapan menyambut bulan Syawal sehingga kurang beriktikaf dan solat malam.

Do's
Menghadiri majlis ilmu/membaca buku ilmiah.
Don'ts
Banyak berhibur.

Do's
Manfaatkan waktu haid & nifas (wanita).
Don'ts
Meninggalkan amal ibadah yang lain walaupun tidak diwajibkan solat & berpuasa (wanita).

Do's
Rancang dengan baik perbelanjaan sempena hari raya.
Don'ts
Boros membuat persiapan hari raya.

Ramadhan: Do's & Don'ts (Part 1)

Do's
Hadirkan niat ikhlas kerana Allah.
Don'ts
Berpuasa dengan rasa terpaksa.

Do's 
Melambatkan bersahur.
Don'ts
Meninggalkan bersahur.

Do's
Membanyakkan berzikir dan istighfar.
Don'ts
Banyak berbual-bual kosong dan berdusta.

Do's
Mentegrakan solat dan lakukan secara berjemaah.
Don'ts
Melengah-lengahkan solat sehingga ada kalanya meninggalkan solat.

Do's
Kurangkan bercakap atau banyak diam.
Don'ts
Mengeluarkan kata-kata yang mempunyai unsur-unsur fitnah dan umpatan.

Do's
Berakhlak mulia.
Don'ts
Kurang bersabar atau mudah marah.


Do's
Tadarus al-Quran dan tadabbur maknanya.
Don'ts
Malas membaca al-Quran.

Do's
Itqan atau tekun bekerja/belajar.
Dont's
Malas membuat/menambah amalan sunat

Do's
Rajin bersedekah
Don'ts
Kedekut dan tidak dermawan.

Do's
Setiap kerja adalah ibadah.
Don'ts
Banyak tidur sepanjang siang.


Do's
Niat memberi/menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa terutamanya kepada orang miskin & susah.
Don'ts
Tidak berusaha menjaga hubungan baik sesama manusia malah sehingga memutuskan silaturrahim.

Wednesday, August 3, 2011

Wanita-wanita Itu

Ada sedikit kelapangan;~
Selalunya waktu2 macam ni dok berkeliaran kat dapur. Prepare 'BRUNCH'. BRUNCH = Breakfast + Lunch. Hehe. Kalau kat rumah memang sarapan lambat sikit, sebab suka settle kan kerja2 rumah dulu. Lepas tu baru mengadap pinggan mangkuk sampai 'pengsan'. Dalam bulan puasa, waktu berkeliaran kat dapur ni kena postpone ke sebelah petang selepas Asar. Prepare juadah untuk berbuka puasa la kan. Ni yang best. Kalau dah takda idea nak masak apa, aku terjah je bazar Ramadhan.^.^

Dah tiga malam berterawih dan hari ni masuk hari ketiga berpuasa. Semalam kat masjid tak sangka aku berjumpa dengan dua 'wanita' itu..

Wanita pertama: wanita yang meminta khidmat aku menjadi guru tuisyen kepada anaknya tahun lepas. Nak sangat aku mengajar, tapi aku terpaksa menolak atas sebab2 yang tak boleh dielakkan. Masa tu juga, aku baru lagi dalam bab2 nak mengajar ni, dalam proses menyesuaikan diri. Aku tak yakin boleh mengajar dengan baik. Lagi pun anak dia akan ambil peperiksaan penting, aku tak nak nanti keputusan peperiksaan teruk disebabkan guru tuisyen tak pandai mengajar seperti yang diharapkan. Sedangkan ramai lagi guru yang lebih hebat boleh mengajar anak dia. Aku terpaksa hampakan perasaan wanita itu. Huhu.. Lepas tu aku ingat dia kecik hati dengan aku, rupa nya taakk.. Semalam masa aku salam dengan dia, dia ok je siap senyum lagi.. Alhamdulillah, rasa lega sangat2.. =)

Wanita kedua: wanita yang mengingatkan aku tentang 'jodoh'. Agak lucu. Ish, tergelak sorang2 nieh. Hmm, cerita setahun yang lalu, abaikan je.. Yang penting, masa dia nampak aku semalam, aku salam dengan dia dan senyum je.. Buat 'kering' macam takda apa pun berlaku sebelum ni. Padahal aku malu bangat!! Rasa macam nak tutup muka dengan kain telekung sampai masuk dalam kereta. Punya lah malu. Haish =.=' Harap2 aku tak jumpa dah dengan wanita yang kedua ni. Tapi masjid ni tak besar mana pun, sure nanti jumpa jugak. Kalau jumpa lagi, terpaksa la aku ulang 'lakonan' yang semalam tu. Hadoi..

Kesian tengok para jemaah berterawih dalam keadaan peluh bercerau-cerau. Kipas ada, mungkin tak cukup berkesan. Emmm, ni baru panas dunia kan. Nanti kat sana tak tau la macam mana.. Imam bagitau semalam, insyaAllah malam ni air-cond akan dipasang. Alhamdulillah, dapat berterawih dalam keadaan yang lebih selesa. Moga para jemaah lebih khusyuk bersujud menyembah Ilahi.. Assolatuttarawih....~



Tuesday, August 2, 2011

"Manisnya Kurma Ini..."

Pada bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w menyarankan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sabda baginda yang bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia adalah suci." (Riwayat al-Tarmizi no. 594)


Buah kurma boleh dimakan sama ada yang masak ataupun yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab seperti Makkah, Madinah, Iran,Turki dan lain-lain. Buah kurma ialah makanan paling ideal untuk tubuh badan manusia kerana mengandungi kadar gula yang tinggi, iaitu dalam bentuk glukosa dan fruktosa, di samping protein, lemak, vitamin (A, B2, B6 dan C) serta beberapa mineral yang lain seperti kalsium, potassium, fosforus, magnesium, sodium dan florin.


Buah kurma merupakan suatu nikmat yang cukup istimewa yang diberikan oleh Allah kepada kita. Selain rasanya yang manis dan tahan lama, ia juga kaya dengan pelbagai zat yang diperlukan oleh badan dan dapat diserap ke dalam sistem tubuh manusia dengan cepat. Glukosa yang terkandung dalam buah kurma boleh dihadamkan dengan pantas dan masuk ke dalam sel-sel hati, otak, darah, sistem saraf dan semua jaringan yang lain. Oleh yang demikian, tenaga manusia dapat dikembalikan dengan kadar segera apabila memakan kurma.


Protein buah kurma dibina daripada 23 jenis asid amino yang sebahagiannya tidak diperoleh daripada buah-buahan biasa. Bahan mineral seperti florin dan kalsium adalah sangat baik untuk kesihatan gigi. Manakala selenium dan kadar magnesium yang tinggi dalam kurma mampu mencegah penyakit kanser.


Buat golongan ibu yang mengandung, kurma juga sangat berguna kerana membekalkan vitamin B6, asid folik, kalium dan magnesium yang berfungsi untuk memantapkan jantung dan peredaran darah. Kalsium yang banyak pula berfaedah untuk pertumbuhan tulang dan gigi bayi di dalam kandungan. Allah telah mengisyaratkan perkara ini dalam kisah kelahiran Nabi Isa a.s., apabila Maryam diperintahkan agar memakan kurma ketika dalam proses melahirkan baginda. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenag hatilah kamu." (Surah Maryam, ayat 25-26)


### Kebanyakan daripada kita hanya membeli dan memakan kurma di bulan Ramadhan, sedangkan Rasulullah s.a.w. menyimpan stok kurma di rumah baginda untuk sepanjang tahun. Jadi, sama-sama lah kita amalkan cara pemakanan baginda sebagai penghayatan kepada sunnah baginda dan juga mendapat manfaat untuk kesihatan...

Saturday, July 30, 2011

Tiga Berita Baik, Alhamdulillah...

Lega sangat dapat settlekan kes accident yang aku alami 2 minggu yang lepas. My first accident kot, sah takkan lupa sampai bila-bila. Kita berhati-hati tak nak langgar orang, tapi orang pulak yang datang 'cari' kita. Malang memang tak berbau kan. Accident ni tak melibatkan kecederaan yang serius pun, tapi duit tetap melayang 500 ringgit. huhu.. Apapun, aku tetap bersyukur sebab tak cedera dan kereta pun dah siap repair. Semuanya dah settle.. =) [Thanx mak su sebab pandai nego dengan abang repair kereta,hehe]



Then, hari ni jugak aku dapat hadiah dari someone. Takda kena mengena dengan birthday atau peristiwa penting dalam kalender pun, dia saja nak bagi. Haaa, nak tau hadiah apa? Jeng jeng jeenngg..

2 helai t-shirt muslimah.
My favourite colour ok  ^.^

Mungkin ada yang anggap hadiah ni biasa je. Tapi bagi aku sangat istimewa. Istimewa sebab someone yang bagi ni cukup istimewa. Boyfriend eyh? Bukan.. Someone yang aku maksudkan tu sepupu aku daa.. Nama dia Balkis. Ok, macam ni cerita nya. Nasib kami berdua lebih kurang sama je. Dalam femili masing-masing, kami merupakan anak perempuan tunggal. Aku dah anggap dia macam kakak kandung sendiri dan dia pun dah anggap aku macam adik kandung dia sendiri. Saling berkongsi suka-duka antara satu sama lain. Selain mak, ayah, dan kawan-kawan, dia jugak antara insan yang banyak mendorong dan bagi semangat kat aku dalam mengejar cita-cita. Banyak perkara yang aku belajar dengan dia. Kira dia lah role model aku dari kecik sampai ke hari ni. Dan jugak sampai bila-bila. Sifat aku dulu yang kasaQ, sekarang dah makin 'sopan' pun sebab tunjuk ajaQ dari dia. (Sopan ke?haha. Sikit2 je..) Tapi sejak dia berumahtangga, kami dah tak serapat dulu. Tak semua benda kami boleh kongsi bersama, cuma hal yang betul-betul mustahak baru aku bagitau kat dia. Aku tak nak nanti dia terbeban disebabkan aku. Mana nak handle anak-anak dengan suami lagi kan. Mungkin tiba masanya nanti, aku sendiri pun akan alami situasi yang sama camtu jugak.. 

TenQ kakcik!!
Pemberian anda ini menambahkan koleksi tshirt muslimah saya.hehe..

Emm tak banyak pun t-shirt muslimah yang aku ada, tak sampai 10 helai pun. Dari tahun lepas lagi aku berkenan sangat dengan design baju jenis macam ni. Rambang mata tengok. Then aku berniat, bila masuk tahun baru aku akan mula pakai baju ni. Alhamdulillah, akhirnya awal muharam tahun ni kesampaian jugak niat aku tu..:)



Balik semula cerita pasal sepupu aku tadi. Lepas ni kami tak dapat jumpa selalu dah, mungkin setahun sekali je. Suami dia dapat offer kerja kat Abu Dhabi. Siap dah buat passport semua. Mesti la dia kena ikut suami dia. Sekarang dok tunggu hari je nak ke sana. Sedih tapi gembira. Bukan semua orang dapat peluang macam tu kan. Boleh tengok dan rasa sendiri life kat negara orang macam mana. Yang best nya kalau jadi macam anak-anak dia. Kecik-kecik lagi dah merasa dok oversea. Balik sini empat atau lima tahun lagi dah fasih cakap Arab. Ana, ente, ana, hehehe.. Apapun, aku dan saudara mara kat sini akan sentiasa doakan keselamatan dan kesejahteraan dia sekeluarga kat sana. InsyaAllah semuanya selamat. Moga beroleh pengalaman bermakna di negara orang ya.



Thursday, July 28, 2011

Memohon Petunjuk-Mu (Istikharah Cinta)

Suatu petang Khamis yang mendung;
Melilau punya melilau, terjumpa la dengan sebuah video dan doa yang sungguh menyentuh kalbuku ini.. Bukan melilau kat luar rumah, kat dalam rumah aje. Depan laptop ni haa.. Daann..tiba-tiba rasa nak 'tempek' video nasyid & doa tu kat sini.. Jom layanzz~





Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah...
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya PadaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu...

Ya Muhaimin...
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu...

Ya Rabbana...
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya,
Agar tidak berpaling daripada hatiMu...

Ya Rabbul Izzati...
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang,
Yang merindui syahid di jalanMu...

Ya Allah...
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya,
Bermunajat di sepertiga malam terakhirMu...

Ya Allah...
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh,
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu...

Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas,
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu...

Amin ya rabbal alamin...


Sumber: Tentang Cinta-Jika Aku Jatuh Hati

[melilau = merayau]

Tuesday, July 26, 2011

Bukan Bonus Biasa

Bismillahhirrahmanirrahim...
Emm..tak tau nak mula dari mana. Lama sungguh tak mengupdate blog. Mungkin blog ni pun dah jauh hati dengan tuan dia.
"Agaknya, tuan aku dah tak sayang aku kot.." Eh...bukan macam tu laaa...

Tak sampai seminggu saja lagi 'tetamu istimewa' kita nak datang. Dalam setahun, sekali saja dia datang. Sangat istimewa, datang dengan penuh kebaikan dan keberkatan. Semestinya kita semua bersedia untuk menyambut kedatangannya. Tetamu yang dimaksudkan ialah, bulan RAMADHAN AL-MUBARAK.



5 Bonus Khas Ramadhan


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada umat-umat terdahulu ketika Ramadhan iaitu:

Bonus 1 -
Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada kesturi di sisi Allah.

Bonus 2
Para malaikat beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

Bonus 3
Allah memperindahkan syurga-Nya setiap hari dan berfirman: "Hampir-hampir hamba-hambaKu yang soleh akan dicampakkan pelbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu." (Mereka sanggup bersusah payah di dunia demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat)

Bonus 4
Syaitan-syaitan dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain Ramadhan.

Bonus 5
Mereka akan mendapat keampunan pada akhir malam (orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalan mereka setelah selesai mengerjakannya)."

Mengenai bonus kelima ini, ada sahabat yang bertanya kepada Baginda s.a.w.: "Ya Rasulullah, apakah itu berlaku pada malam Lailatulqadar?" Baginda menjawab: "Bukan, tetapi pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalnya." (Riwayat Ahmad)

Subhanallah... Bukan dengan bekerja saja kita boleh mendapat bonus. Berpuasa juga ada 'bonus' nya. Malahan berkali-kali ganda tinggi nilai bonus yang kita dapat daripada Pencipta Teragung. Tidak mahukah kita??? Tepuk dada, tanyalah iman.


"... Puasa sempurna menahan rohani dan rasa
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota
Puasa biasa hanya menahan lapar dan dahaga
Lalu di manakah kita
Adakah masih ditahap lama ..."

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Muhasabah Ramadan.
 Solusi Edisi Khas (Isu 34)

Thursday, May 26, 2011

Moga Esok Lebih Baik Dari Semalam

" ...hujan oh hujan, kenapa engkau turun?? Macam mana aku tak turun, katak panggil aku. Katak oh katak, kenapa panggil hujan?? lalala... "

Dek kerana hujan turun dengan tiba-tiba petang ni, teringat pulak kat lagu 'Katak' yang selalu aku nyanyi masa zaman kanak-kanak ribena dulu. Alhamdulillah, hujan juga merupakan satu rahmat dari-Nya. Bagi aku, hujan adalah satu sumber ketenangan. Suka sangat suasana lepas hujan. Sejuk mata hati bila dapat tengok bukit-bukau berkabus, pokok-pokok dan rumput di muka bumi menjadi basah. Semuanya nampak segar-segar belaka. =)




Oh hatiku senang di petang yang tenang. Vah, vah, vaahhh...seronok nampak..?? Mesti ada pasai ni.. Sebenaqnya aku.. emmm aku, aku..aku dah habis marking exam paper!!! haha, ingatkan pasai apa tadi. Aduiihh.. Buat saspen ja...^.^

Alhamdulillah..berjaya gak aku mencapai sasaran nak settle kan semua tu sebelum cuti sekolah. Tahniah, tahniah~ Anda boleh bercuti dengan aman-damai. Uiks, jangan nak berangan lebih-lebih. Cuti tu biar berpada-pada. Result student tu macam la bagus sangat... Sangat mendukacitakan ok. So, cuti sekolah ni banyak perkara yang perlu dikaji balik. Baik dari aspek aku mengajar mahupun aspek pencapaian pelajar. Kena rancang strategi-strategi macam mana nak improve result diorang untuk next exam. Selamat berusaha Yani, moga sukses!! 

Ya Allah ya Tuhanku..Permudahkan lah segala urusan hambaMu ini. Tunjukkan lah aku jalan yang terbaik. Ya Rabb, aku memohon agar hati ini sentiasa tersemai dengan keikhlasan dan kesabaran yang tinggi dalam menyampaikan ilmu serta mendidik para pelajarku. Amin..

*SiFaT YaNg MenGHaPusKan AmaLaN BaiKmU ===> sekadar perkongsian..*

Tuesday, May 24, 2011

Pain-killer

~It's very painful..


Seem like you don't want to see that person anymore.
But..this world is too small to hide, 
too small to run away as far as you want.

Although it took a week, a month, a year, or maybe a decade. Think, think and think again and again.
The deepest thinking.
Because there's a reason..when you lose a 'true friend', in fact that's more painful~




Saturday, April 2, 2011

Pentingkan Diri Sendiri/Orang Lain? Agak-agak la kan..

Salam...


Pagi-pagi tadi lagi aku dah online. Cek emel, baca isu2 kat akhbar tempatan, jenguk2 web cari kerja, cuci2 mata jap kat kedai online shopping baju&tudung daann...tiba-tiba aku rasa nak luahkan sesuatu kat sini. Nak luah apa yang aku rasa sepanjang minggu ni. Sebenarnya, boleh je aku luahkan semalam/ dua tiga hari lepas. Tapi aku masih boleh bertahan, sabar dan pendam je sebab malas nak bising2. Jadi, kebetulan hujung minggu ni aku tak kena buat ot dan dapat bercuti, boleh la aku membebel dan merepek sesedap rasa kat sini.


Pentingkan diri sendiri. Pernah atau tak pernah buat. Tak pernah? Yang ni macam susah sikit nak percaya. Tapi boleh jadi gak kan, mungkin 'spesies' ni ada seorang dalam sejuta. Aku percaya kebanyakan orang mesti pernah buat. Cuma selalu dengan tak selalu, depend pada situasi sama ada dari aspek positif atau negatif..

Sepanjang minggu ni sangat letih dan tertekan. Letih mengadap sikap manusia yang pentingkan diri sendiri. Persoalannya, macam mana dan musabab apa yang membolehkan manusia2 ni bertindak pentingkan diri sendiri hah?? Teringin sangat2 nak tau. Yang kita ni punya la dua tiga kali fikir nak pentingkan diri sendiri. Kadang2 tu berkali-kali fikir sebab kalau buat itu, kesan buruk lebih banyak untuk siapa? Diri sendiri atau orang lain? Begitu juga sebaliknya. Meh nak bagi contoh sikit..

Contohnya macam situasi nak pergi kerja. Aku selalu ke tempat kerja 'berkonvoi' dengan sorang lagi kawan. Pernah terjadi suatu pagi tu perut aku meragam. Celah2 pagi tu gak la dia nak buat hal. Dek kerana perut meragam, kawan aku pergi kerja dulu dan aku ditinggalkan. Dia pentingkan diri sendiri. Aku tak marah malah sangat setuju dengan tindakannya. Buat apa nak marah, takkan sebab kita terlewat ke tempat kerja kita nak libatkan orang lain plak kan? Tak pasal2 nanti kawan kita yang tak bersalah tu pun kena 'hukum', kesian..(aku tak kena hukum cuma kena potong gaji je..huhu)



Ok, yang tu untuk situasi positif. Untuk situasi negatif plak, yang ni berlaku dua hari lepas. Aku dengan sorang lagi kawan tengah beratur kat mesin atm nak keluarkan duit. Suddenly, datang sorang pemuda ni dengan selamba badak dia terus potong line. Duduk kat depan kami boleh buat muka kering tanpa rasa bersalah. Dia berani buat camtu sebab dia fikir dia tentera kot. Orang lain tak boleh nak tegur dia. Boleh tau sebab kami perasan kat tshirt yang dia pakai ada tulis tentera dari kawasan mana ntah.. Kalau ye pun nak cepat, cakap la elok2.. Mintak izin dulu, bagitau mak tengah sakit/bini nak bersalin ke apa ke.. Agak2 alasan yang boleh diterima, sejuk sikit hati kami ni haa. Nak sembur pun tak jadi.. Tapi memang kami tak sembur pun, dok diam dan bersabaq ja.. Nasib baik dia buat kat kami, kalau kat makcik yang tengah mengandung/OKU, camna tu? Memang tak berperikemanusiaan dan berhati perut usus langsung. Huuu..

Banyak lagi sebenarnya yang berlaku. Dari dalam rumah sampai la ke luar rumah. Ditambah hal2 kat tempat kerja lagi. Hmm, pening2.. Tak larat dah nak bebel lama2 dan lebih2 kat sini. Cukup la sikit2(sikit ke?hehe..) Kadang2 berdiam diri itu lebih baik.
Apa yang penting, kena selalu berdoa mohon supaya Allah kekalkan dan tebalkan lagi sifat sabar dalam diriku ini. Hampirkan diri ini dengan orang2 yang sabar serta jauhi dari orang2 yang panas baran, pendendam, busuk hati dan yang berniat jahat. InsyaAllah, amin..
~Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui~


Wednesday, March 30, 2011

Kemana Hilangnya Bahagia

Sifat-sifat mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati seseorang:


(a) PEMARAH
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak dalam diri manusia. Orang sperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.


(b) PENDENDAM
Tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil sekalipun, seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu.


(c) HASAD DENGKI
Amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.


(d) BAKHIL
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan dan pangkat darinya. Contohnya, sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama). Allah SWT lebih sayang orang yang fasik tetapi pemurah, dan benci orang yang abid tetapi bakhil. Biarpun fasik, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah SWT beri melalui makhluk.


(e) TAMAK
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut. Walaupun berapa banyak yang diminum tetap tidak habis. Ingat, yang dikatakan harta atau rezeki ialah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.


(f) TIDAK SABAR
Andainya perkara yang kecil tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.


(g) EGO/ANGKUH
Ibu segala mazmumah. Ia membuatkan seseorang tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi dan rendah tahap keegoannya.


(h) RIAK
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di hadapan orang. Jika dipuji, ia akan menambah amalnya jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah SWT marah kalau kita riak dan takabbur dengan apa yang kita ada.


(i) CINTA DUNIA
Tidak dapat dunia menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. Bila mati kita cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh/solehah. Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi dan akhirat dibawa mati.




Tuesday, March 22, 2011

Sila Jadi Pemandu Berhemah

Salam...
Petang ni kat sini hujan lebat sangat. Tuan badan diserang seram sejuk. Seram sejuk campur gembira. Gembira sebab hari ni aku LULUS ujian JPJ memandu kereta. yey!! Oopps, alhamdulillah... >.< Tak sia-sia gak aku habiskan baki cuti tahunan aku selama 2 hari. Kemarin dengan hari ni. Kemarin aku buat kelas latihan untuk kali terakhir dengan pengajar, hari ni hari ujian betol2 punya dengan pegawai JPJ. Cuti hujung minggu baru-baru ni pun aku buat 'extra class' kat rumah. Rembat kereta 'racing' abang aku jap, asyik mati je enjin sebab tak pernah2 bawak langsung sebelum ni. Pas berkali2 aku try, dapat gak gerakkan kereta tu. Cam omputih cakap, Practice makes perfect. kan2?? =) (Aku buat semua ni sebab nak bagi confident sikit untuk ujian sebenar)



Kalau nak tau, aku ni memang takut sangat nak amik lesen memandu. Takut sebab dengar dan tengok accident jalan raya berlaku kat Malaysia ni haa. Macam-macam. Tak payah cakap satu Malaysia, kat negeri aku pun dah cukup banyak. Hari2 boleh dengar bunyi ambulan lalu lalang kat jalan raya rumah aku. Pastu dapat la berita si polan sekian2 accident..huhu.. Aku tak amik lesen moto dengan kereta dua2 sekali serentak. Lesen moto amik 2 tahun lepas. Masa tu aku terpaksa amik juga sebab nak mudah gerak ke tempat kerja. Tak amik lesen kereta lagi sebab betul2 takda kekuatan nak bawak kereta. Masa tu memang tahap takut yang tak boleh dipaksa. Mau bawak gak, silap hari bulan kereta tu boleh terbang kot. Mula2 memang la takut. Tapi lepas dah dapat lesen, bawak moto tu macam dah boleh masuk geng mat rempit.hahaha..Gurau je.. Manada, I pemandu berhemah tau.heee~




Bila fikir2 balik, naik kereta lebih baik dari segi keselamatan terutamanya untuk kaum wanita. Awal tahun ni baru la aku dapat 'seru' untuk amik lesen kereta. Nak atau tak nak, kena amik jugak. Dan akhirnya, hari ni aku berjaya. Syukur sangat. Terima kasih yang tak terhingga buat cikgu kelas memandu yang banyak sangat curah ilmu, banyak berleter supaya aku cepat belajar dan mudah faham. Lihatlah hasilnya, sampai aku lulus ujian jpj tu pagi tadi. Tak lupa juga buat ibu bapa, rakan2 dan pihak2 bertanggungjawab yang banyak bagi sokongan dan mendoakan kejayaan aku hari ni (ayat bajet artis menang anugerah la pulak..hehe) Moga Allah merahmati kalian semua di dunia mahupun di akhirat kelak...

p/s: Buat tuan badan, cuba untuk tidak terlibat dengan sebarang kemalangan. Sila jadi pemandu yang berhemah ok. InsyaAllah semuanya akan selamat..



Saturday, March 12, 2011

Datang Tanpa Diundang

Bismillahirrahmanirrahim...
Salam...


Dua bulan blog ni tak diupdate. Sudah berhabuk dan berkebuk. Hisk3.. Tu baru 2 bulan, kalau 2 tahun?? Mau nya 'pupus' terus blog ni. Huhuhu...


Sebenarnya, memang banyak yang aku ketinggalan dalam bab blogging ni. Tadi sempat jalan2 kejap tengok blog kawan2 & blogger yang lain. Tiap2 hari, ada saja entri baru. Paling kurang pun, selang 2 atau 3 hari. Yang selang 2 atau 3 jam pun ada. Ni memang tahap rajin kuasa sepuluh. Bagus betul laa.. >.<


Secara ringkasnya, entri kali ni tak nak panjang2 sangat. Sebagai entri 'warming up' orang kata.. Semalam 11/03/11, dunia sekali lagi dikejutkan dengan berita kedatangan Tsunami. Tsunami 'menyerang' Sendai di timur laut Miyagi, Pulau Honshu akibat daripada gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala Ritcher. Kejadian ni mengingatkan kembali kejadian Tsunami pada 26/12/2004 yang melanda pantai2 di selatan Asia, Indonesia, Thailand dan Malaysia. Hampir dua ratus ribu orang telah terkorban akibat bencana alam tersebut.








MasyaAllah...takut nya tengok air laut tu bergerak. Laju macam jet, memang tak sempat nak buat apa2. Kereta, van, bas, kapal, habis ditolak tunggang terbalik. Macam mana la rasa dan keadaan orang yang ada kat sana masa tu. Betul2 menginsafkan.. Ambil iktibar daripada setiap apa yang berlaku. Jadikan ia sebagai pengajaran buat semua.


"Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum. Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya." (Surah: Al-Hijr, Ayat: 4&5)


Sunday, January 9, 2011

10 Adab Berdoa

Sebagai hamba Allah kita disaran sentiasa berdoa kepada-Nya. Dia pemilik sekalian alam, yang menjadikan makhluk, mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi. Mereka yang tidak pernah berdoa, memohon keampunan tergolong di kalangan mereka yang sombong. Allah SWT suka kepada hamba yang tidak jemu merintih kepada-Nya, merendahkan diri dan memohon keampunan dari-Nya. Sesungguhnya doa adalah senjata oramg mukmin.




Antara adab-adab berdoa ialah:

1) Dilakukan pada saat-saat yang mulia seperti pada hari Arafah, di bulan Ramadhan, hari Jumaat, sepertiga malam dan pada waktu sahur.

2) Berdoa dilakukan pada waktu sujud, pada waktu bertemu dengan pasukan musuh, ketika hujan turun, ketika berdiri untuk mengerjakan solat dan pada waktu sesudah solat.

3) Sewaktu berdoa menghadap ke kiblat, mengangkat kedua tangan, mengusap muka dengan kedua belah tangan sesudah mengakhiri doa. Imam dalam masjid sunat mengalih tempat duduknya. Bahu kirinya menghadap kiblat manakala bahu kanannya menghadap makmum.

4) Merendahkan suara antara 'sir' dan 'jahar' iaitu antara terdengar dan tidak.

5) Jangan berlebih-lebihan mengatur sajak dengan bahasa berbunga pada akhir kata.

6) Bersikap rendah diri dengan khusyuk serta takut
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya mereka itu cepat-cepat melakukan segala kebajikan dan mereka itu berdoa kepada kami dengan harap-harap cemas dan khusyuk". (Surah al-Anbiya':90)
Allah SWT berfirman lagi: "Berdoalah kepada Tuhanmu. Rendahkanlah dirimu dan takutlah!" (Surah al-A'raf:55)

7) Seorang yang berdoa itu harus menujukan doanya kepada Allah semata-mata, dan harus yakin bahawa doanya itu akan dimakbulkan.

8) Doa itu dimulai dengan memuji Allah SWT serta berzikir, berselawat kepada Rasulullah s.a.w serta ditutup dengan hal yang sama.

9) Kita tidak bosan untuk terus berdoa dan diulang-ulang doanya sehingga tiga kali dan tidak berasa kesal kerana doanya lambat termakbul.

10) Pokok pangkal kemustajaban doa ialah bertaubat terlebih dahulu dan menghindari perbuatan jahat serta bertawakal sepenuh hati kepada Allah SWT.

*** Sumber: Majalah al-Muslimah, Januari 2011.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...