Pada bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w menyarankan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sabda baginda yang bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia adalah suci." (Riwayat al-Tarmizi no. 594)
Buah kurma boleh dimakan sama ada yang masak ataupun yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab seperti Makkah, Madinah, Iran,Turki dan lain-lain. Buah kurma ialah makanan paling ideal untuk tubuh badan manusia kerana mengandungi kadar gula yang tinggi, iaitu dalam bentuk glukosa dan fruktosa, di samping protein, lemak, vitamin (A, B2, B6 dan C) serta beberapa mineral yang lain seperti kalsium, potassium, fosforus, magnesium, sodium dan florin.
Buah kurma merupakan suatu nikmat yang cukup istimewa yang diberikan oleh Allah kepada kita. Selain rasanya yang manis dan tahan lama, ia juga kaya dengan pelbagai zat yang diperlukan oleh badan dan dapat diserap ke dalam sistem tubuh manusia dengan cepat. Glukosa yang terkandung dalam buah kurma boleh dihadamkan dengan pantas dan masuk ke dalam sel-sel hati, otak, darah, sistem saraf dan semua jaringan yang lain. Oleh yang demikian, tenaga manusia dapat dikembalikan dengan kadar segera apabila memakan kurma.
Protein buah kurma dibina daripada 23 jenis asid amino yang sebahagiannya tidak diperoleh daripada buah-buahan biasa. Bahan mineral seperti florin dan kalsium adalah sangat baik untuk kesihatan gigi. Manakala selenium dan kadar magnesium yang tinggi dalam kurma mampu mencegah penyakit kanser.
Buat golongan ibu yang mengandung, kurma juga sangat berguna kerana membekalkan vitamin B6, asid folik, kalium dan magnesium yang berfungsi untuk memantapkan jantung dan peredaran darah. Kalsium yang banyak pula berfaedah untuk pertumbuhan tulang dan gigi bayi di dalam kandungan. Allah telah mengisyaratkan perkara ini dalam kisah kelahiran Nabi Isa a.s., apabila Maryam diperintahkan agar memakan kurma ketika dalam proses melahirkan baginda. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenag hatilah kamu." (Surah Maryam, ayat 25-26)
### Kebanyakan daripada kita hanya membeli dan memakan kurma di bulan Ramadhan, sedangkan Rasulullah s.a.w. menyimpan stok kurma di rumah baginda untuk sepanjang tahun. Jadi, sama-sama lah kita amalkan cara pemakanan baginda sebagai penghayatan kepada sunnah baginda dan juga mendapat manfaat untuk kesihatan...


No comments:
Post a Comment