"Sem ni aku dapat 4 flat lagi, alhamdulillah.. Mulai esok, aku akan puasa 7 hari berturut-turut."
"Kalau sem depan aku dapat anugerah dekan lagi, aku nak puasa 7 hari berturut-turut."
Bernazar dengan erti kata yang mudah, kita berjanji dengan Allah untuk lakukan sesuatu perkara sebagai tanda bersyukur. Pernah tak korang bernazar macam situasi-situasi kat atas? Atau sewaktu dengannya (ganti puasa tu dengan kenduri/sedekah/lain-lain)?? Dua situasi tu nampak macam sama kan, tapi sebenarnya tak serupa. Untuk entry kali ni aku nak kongsi sikit maklumat tentang nazar, maklumat yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia-Kemusykilan Agama Bersama MOHD FARID RAVI ABDULLAH (Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor).
- - - - - - - -
Nazar hendaklah dalam perkara ta'abbudiy (Ketaatan dalam melakukan sesuatu ibadat kepada Allah SWT). Nazar yang ta'abbudiy ialah melafazkan niat nazar dengan suara yang agak boleh didengari oleh telinga sendiri.
Nazar yang disunatkan dan disukai Allah SWT ialah nazar tabarrur iaitu nazar berbuat kebajikan atau ketaatan dengan berniat "Demi Allah aku akan bersedekah tiga ekor kambing." Nazar sebegini juga dinamakan nazar taqarrub iaitu nazar mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW daripada Aisyah r.a. daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah, dan sesiapa yang bernazar untuk mengingkari perintah Allah (berbuat maksiat) maka janganlah menderhakai-Nya. (al-Bukhari: no.6565, Abu Daud: no.3265, al-Tarmidzi: no.1564, Ibn Majah: no.2126)
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya. (al-Baqarah: 270)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi Yang Diwajibkan Tuhan kepada-Nya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksa-Nya merebak di sana sini. (al-Insan: 7)
Nazar mutlak:
Mewajibkan diri dengan sesuatu ketaatan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas apa yang diperolehi dan yang telah berlaku, sama ada berbentuk nikmat atau terhindar dari bala.
Contohnya, bernazar setelah Allah melepaskannya dari kesengsaraan dan kesedihan atau setelah Allah mengurniakannya dengan rezeki.
Nazar mu'allaq:
Bernazar untuk mentaati Allah SWT sekiranya dia dikurniakan sesuatu yang dihajatinya atau dengan ketaatan atas sesuatu yang akan datang (belum berlaku lagi). Juga bermaksud, jika impiannya terlaksana.
Nazar yang bersyarat begini hukumnya adalah makruh menurut kebanyakan ulama Syafi'i, Hanbali dan Maliki. Ini kerana perbuatan taat yang mahu dilakukan bergantung kepada tercapai atau tidaknya apa yang dimahukan. Ternyata di sini bahawa amalannya itu bukanlah untuk mendekatkan diri kepada Allah tetapi dengan niat sebagai barang ganti. Seolah-olah jika Allah laksanakan kemahuan aku, aku akan mendekatkan diri kepada-Nya. Jika tidak, maka aku tidak lakukan. Ia disebut sebagai seorang yang bakhil dan berkira-kira dengan Allah SWT.
Sebenarnya kebanyakan apa yang kita nazarkan dalam mencapai sesuatu hajat perlu berhati-hati supaya tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. Ini kerana ada di antara kita yang suka bernazar kemudian memungkiri nazarnya itu selepas mendapat apa yang dia mahu. Dengan demikian kita telah menanggung hutang dengan Allah SWT.
Oleh itu seperkara kena ingat di sini, jika nazar yang diucapkan disertakan dengan iktikad bahawa nazar yang dibuat ini memestikan hasratnya tercapai, atau beriktikad bahawa Allah SWT memperkenankan hasratnya disebabkan oleh nazarnya itu, maka iktikad seperti ini adalah satu niat yang buruk, keji dan rosak. Ia hampir kepada kufur. Ia termasuk di dalam dosa besar.
***iktikad = kepercayaan atau keyakinan di dalam hati
**Sekadar berkongsi untuk sama-sama fikir balik cara perlaksaan nazar kita sebelum-sebelum ni. Paling penting, hati-hati bila nak bernazar dan jangan tangguh nazar kita tu. Wallahualam..

No comments:
Post a Comment